BEKAS Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, selepas didapati bersalah dalam sembilan pertuduhan rasuah.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dikenakan terhadap tertuduh, lapor Malaysiakini.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.
Ia sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015 di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di Kuala Lumpur.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama. – Malaysiapost
Foto Kredit: Star

