Bekas pengerusi MARA Inc bakal didakwa 22 pertuduhan rasuah RM33.45 juta

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Pengerusi MARA Incorporated Sdn Bhd, hari ini kerana disyaki terbabit kes rasuah dalam urusan pembelian hartanah di Dudley International House, di Australia.

Difahamkan, lelaki bergelar Datuk dan berusia 65 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur dan didakwa dengan 22 pertuduhan rasuah pada Jumaat ini.

Suspek ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Suspek dijangka akan dituduh mengikut Seksyen 16 (a) dan 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan rasuah 2009 serta seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010.

Difahamkan juga, suspek dipercayai menerima rasuah sebanyak RM33.45 juta hasil pembelian hartanah di Australia oleh MARA Inc pada 2013.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan serta 22 pertuduhan rasuah terhadap suspek

Portal The Sydney Morning Herald sebelum ini melakukan pendedahan berhubung salah laku rasuah itu dan SPRM kemudiannya, memulakan siasatan termasuk berkerjasama dengan agensi penguatkuasaan di negara berkenaan.

September lalu, Azam juga pernah menyatakan SPRM mungkin akan mendakwa individu tertentu berhubung kes penjualan hartanah Dudley International House.

Ia susulan mahkamah di Australia baru-baru ini, membuat dakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada MARA Inc pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik, termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya di Australia. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here