Ebit Lew akhiri misi 10 hari bantuan di Sabah

0
1

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew mengakhiri misi bantuan 10 hari di Sabah dengan menyantuni petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Hospital Daerah Tawau.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ebit mengucapkan terima kasih kepada semua IPD dan Hospital di Sabah kerana telah memberi kerjasama dan layanan mesra sepanjang beliau menjayakan misi bantuan di Negeri di Bawah Bayu tersebut.

“Pagi ini ziarah IPD Tawau dan Hospital Tawau hantar sedikit bantuan dan beri kata semangat. Mereka pejuang kita semua.

“Dari awal sampai saya ziarah IPD Tawau, IPD Kunak, IPD Lahad Datu, IPD Semporna. Begitu juga hospital di semua daerah. Semua baik mesra dan minta doa.

“Hampir setiap IPD, OCPD (ketua polis daerah) akan kata Pesuruhjaya Polis Sabah sampaikan salam pada ustaz dan ucap terima kasih datang Sabah,” tulisnya.

Ebit turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Tawau yang memberi bantuan dalam aspek keselamatan dan logistik sepanjang misi bantuan itu.

“Terima kasih Tuan Kapten Effendi, Penolong Pengarah MKN Tawau yang bersama khas misi kami hampir 10 hari ini.

“Terima kasih PDRM unit cawangan khas yang menghantar empat angggota sentiasa bersama kami sepanjang 10 hari. Terima kasih APMM yang menghantar tujuh bot untuk misi kami,” catatnya.

Dalam pada itu, Ebit menyatakan rasa sedih susulan sebuah sekolah yang diusahakan beberapa NGO di Sabah terpaksa ditutup kerana tidak mampu menanggung bayaran sewa bangunan, air dan elektrik.

“Semalam di Semporna dapat berita sebuah sekolah bimbingan Az Zahrah Semporna, 300 pelajar susah yang ditubuhkan oleh NGO telah ditutup sebab tiada kemampuan untuk tanggung sewa bangunan, air dan elektrik.

“Tahniah NGO di Sabah yang hebat-hebat. Kagum usaha mereka. Berjuang berkorban siang malam. Ada tujuh ustazah sukarelawan mengajar mereka secara percuma.

“Saya singgah sana sekejap. Sedih tengok ramai anak orang susah. Saya akan bayarkan sewa bulanan dan bayar air elektrik. Bersorak anak-anak dan mak ayah bila tahu. Menangis rasa bersama orang susah. Semua melambai ucap terima kasih,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here