
RUNDINGAN meja bulat antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan pengimport daging telah mencapai kata sepakat dalam memastikan status halal daging import sentiasa terpelihara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata.rundingan meja itu mencetuskan hikmah yang tersirat untuk kebaikan rakyat terutama umat Islam.
“Alhamdulillah, rundingan meja bulat anjuran JAKIM bersama pengimport dan pengedar daging dan produk daging pada 11 Januari lalu membuahkan banyak natijah yang bermanfaat untuk umat Islam di Malaysia.
“Antara pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam kalangan Pengimport Daging Berlesen yang adalah GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Sushi King Sdn Bhd, Kyros Kebab Sdn Bhd, Melawati Kebab Sdn Bhd, Nusantara Meat Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd, Al-Hilal Food Processing Sdn Bhd, Macfood Services (M) Sdn Bhd dan Selamat Supplies Sdn Bhd,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurut Dr Zulkifli, kerajaan sentiasa serius mengenai isu halal dan integriti dalam pengurusan halal daging import ini.
Katanya, senarai penuh 318 pengimport daging berlesen yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia boleh didapati di portal Halal www.halal.gov.my atau aplikasi Smart Halal.
“Jika pengimport ada Sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka anda tidak perlu risau lagi.
“Saya amat prihatin akan kebimbangan umat Islam dalam hal ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku agensi berautoriti telah melaksanakan prosedur tepat bagi pengurusan kes kartel daging import ini.
“Adalah sebaiknya proses penguatkuasaan dilaksanakan oleh mereka yang diberi autoriti mengikut lunas perundangan. Insya-Allah selepas selesai perbicaraan dan tindakan undang-undang dari mahkamah, semuanya akan selesai,” katanya
Dr Zulkifli turut berkongsi gambar aliran proses import daging ke Malaysia untuk makluman semua di Facebook miliknya.
Pada 11 Januari lalu kerajaan mengadakan rundingan meja bulat bersama pengimport dan pengedar daging serta produk daging sebagai salah satu usaha menyelesaikan isu kartel daging import ini.
Isu kartel daging import hangat pada awal Disember tahun lalu susulan terbongkarnya taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.
Ia terbongkar susulan serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.
Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang tersebut sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2020/12/31/isu-kartel-daging-saya-bukan-lepas-tangan-zulkifli/
