KERAJAAN dijangka mengumumkan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan atau sebaliknya hari ini.
Ini kerana hari ini berlangsung Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang antara lain akan memutuskan langkah seterusnya berhubung pelaksanaan PKP yang tamat Khamis ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat juga akan berbincang mengenai kadar denda lebih tinggi dikenakan syarikat yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.
PKP 2.0 mula dikuatkuasakan di enam negeri pada 13 Januari lalu selama 14 hari sebelum diperluaskan ke seluruh negara kecuali Sarawak dan dijadual berakhir lusa.
Pada 25 Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata PKP tidak akan dilanjutkan bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara, susulan pelaksanaannya.
Namun keesokannya, Ismail Sabri berkata keputusan sama ada PKP lebih ketat atau kembali kepada PKP Bersyarat (PKPB), bergantung kepada keputusan mesyuarat bersama MKN.
Semalam, Ismail Sabri berkata kerajaan memberi jaminan tidak akan menutup sepenuhnya sektor ekonomi ketika pelaksanaan PKP bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap masyarakat yang hilang sumber pendapatan.
Katanya, keputusan itu diambil kerajaan bagi mengimbangi kelangsungan hidup dan kesihatan rakyat sekalipun ada desakan agar sektor ekonomi ditutup bagi mengekang peningkatan kes Covid-19 yang semakin tinggi kebelakangan ini.
“Saya banyak terima (mesej) WhatsApp daripada peniaga-peniaga kecil dan peniaga tepi jalan yang mengadu keadaan mereka begitu susah sekiranya mereka tidak dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP.
“Ada yang saya terima mengatakan wang simpanan mereka telah habis digunakan untuk menyara keluarga. Walaupun kami membenarkan peniaga membuka warung makanan secara bungkus tetapi pendapatan mereka menyusut 50 peratus,” katanya. – Malaysiapost

