KELEWATAN melaporkan kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) adalah punca peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga melebihi 5,000 kes tiga hari hari berturut-turut.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sudah mengambil tindakan wajar seperti pengasingan dan rawatan, pengesanan kontak rapat serta pengesanan kes secara aktif.
“Peningkatan jumlah jangkitan ini turut berpunca hasil saringan bersasar di tempat kerja, kontak rapat dan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan di beberapa negeri.
“Terdapat juga klinik dan hospital swasta lambat membuat laporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (Simka),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan semua pihak supaya isu kelewatan laporan dapat ditangani segera bagi membendung penularan pandemik.
Jangkitan Covid-19 di Malaysia hari ini mencatatkan 5,298 kes, manakala semalam, merekodkan 5,728 kes serta Jumaat 5,725 kes. -Malaysiapost

