
Nilam Oshman
PERDANA Menteri berkata, isu kos sara hidup, kelangsungan kehidupan rakyat serta membasmi kemiskinan di Wilayah Persekutuan khususnya ketika Covid-19 adalah tumpuan utama kerajaan melalui Program Kemiskinan Bandar (5MY).
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, menerusi program itu, Kementerian Wilayah Persekutuan melancarkan program MYJobs@Wilayah, MYGrocer@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYMedic@Wilayah dan MYFood@Wilayah.
Katanya, beliau sedar realiti kesulitan berlaku dalam kalangan rakyat yang bertungkus lumus membina semula untuk meneruskan kehidupan.
“Kerajaan mengikuti dengan rapat keadaan yang berlaku bagi memastikan ikhtiar bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasaran,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Wilayah Persekutuan 2021 yang disiarkan di stesen televisyen utama malam ini.
Muhyiddin berkata, kementerian itu juga bersikap proaktif dalam melengkapkan inisiatif kerajaan dengan melaksanakan program jaringan keselamatan sosial dan secara tidak langsung turut menyediakan inisiatif yang memanfaatkan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Saya dimaklumkan pada tahun 2020 sahaja, lebih 35,000 orang dan ketua isi rumah serta 331 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur telah menerima bantuan langsung melalui Program 5MY.
“Ini konsisten dengan penegasan kepada rakan Menteri Kabinet supaya segala inisiatif kebajikan rakyat mesti dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program MYJobs@Wilayah telah menyediakan sehingga 3,259 pekerjaan di ibu kota iaitu 28 peratus lebih tinggi daripada sasaran asal dan inisiatif pengambilan pekerjaan itu adalah meliputi pelbagai sektor dan industri.
“Bagi inisiatif MYSchoolBus@Wilayah katanya, ia telah memberi bantuan kepada seramai 9,704 murid di 67 kawasan perumahan awam kos rendah yang melibatkan 94 pengendali bas sekolah.
“MYMedic@Wilayah pula adalah perkhidmatan klinik bergerak yang menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan asas secara percuma kepada warga kota yang kurang berkemampuan di kawasan perumahan kos rendah di Kuala Lumpur,” katanya.
MYGrocer@Wilayah adalah inisiatif berkonsepkan pasar bergerak ke kawasan perumahan kos rendah melalui penjualan barang basah dan keperluan harian pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah daripada harga di pasar awam.
“Sehingga kini, trak MYGrocer telah bergerak ke 30 lokasi Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.
“MYFood@Wilayah merupakan konsep bantuan bakul makanan yang berisi keperluan harian kepada golongan miskin bandar dan kini telah memanfaatkan seramai 32,000 ketua isi rumah di Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam masa sama, Muhyiddin dalam perutusan itu turut melancarkan Program 5MY Wilayah Persekutuan secara maya.
Beliau turut menarik perhatian apabila menambah inisiatif murni itu dengan Kementerian Wilayah Persekutuan akan melipatgandakan usaha meneliti semula sasaran penerima bantuan bagi mengelakkan individu yang layak tidak tercicir tanpa mengabaikan penerima dalam kalangan penghuni PPR dan Perumahan Awam.
Selain itu, beliau turut mengumumkan sebanyak 5,750 kampit beras akan disumbangkan secara percuma setiap minggu kepada penduduk daripada kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula hari ini.
“Program MYBerasWilayah itu digerakkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan,” katanya.
Muhyiddin turut menegaskan, kerajaan akan meneruskan usaha bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat dan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.
“Ini membuktikan melalui Belanjawan 2021 yang telah memberikan tumpuan khusus kepada insiatif membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik Covid-19.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus komited untuk melaksanakan visi Malaysia sebagai negara yang mampan, adil, saksama dan inklusif, sekali gus meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan raktyat bersatu padu,” katanya. -Malaysiapost
