48 warga Hospital Sultanah Nur Zahirah positif Covid-19

0
2

SERAMAI 48 kakitangan pelbagai jawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dijangkiti Covid-19 setakat semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata pengurusan rawatan pesakit di hospital itu masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.

Di samping itu, katanya, perkhidmatan unit rawatan rapi (ICU), dewan bedah dan perkhidmatan kecemasan turut beroperasi seperti biasa.

“Namun, bagi mengurangkan gangguan pada perkhidmatan sedia ada, perkhidmatan untuk rawatan kes-kes ringan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, HSNZ ditutup buat sementara bermula semalam.

“Orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan (zon hijau) masih boleh mendapatkannya di Jabatan Pesakit Luar, HSNZ atau klinik kesihatan berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, semua petugas kesihatan HSNZ yang dijangkiti Covid-19 kini diasingkan dan menerima rawatan.

Katanya, siasatan bagi mengenalpasti punca jangkitan masih dijalankan di samping kontak rapat yang disaring dan diasingkan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar usah menularkan sebarang berita tidak sahih bagi mengelak kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Jabatan Kesihatan negeri akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit di kawasan hospital,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here