Nurul Huda Abhar
FENOMENA hasil jualan merudum, syarikat gulung tikar dan individu hilang pekerjaan semakin meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac tahun lalu.
Bagi penjaja makanan dan gerai jualan di tepi jalan khususnya sangat terkesan dengan krisis ekonomi yang berlaku tatkala terpaksa menghentikan operasi perniagaan bagi tempoh masa lama.
Tidak terkecuali peniaga gerai burger yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP 1.0 apabila mereka turut mengeluh kerana terputus punca pendapatan.
Peniaga burger, Abdul Latif Adol, 41, mengakui lega apabila kerajaan membenarkan semula peniaga-peniaga untuk beroperasi selepas PKP terdahulu.
“Ini kerana sepanjang PKP, kami tidak dibenarkan buka gerai, dan tidak boleh berniaga di luar sepanjang tempoh itu.
“Jadi selepas sahaja kerajaan umum boleh berniaga semula, hasil jualan Alhamdulillah memang naik. Dalam RM600 hingga RM700 sehari,” katanya kepada Malaysiapost.

Namun, selepas peningkatan kes Covid-19 pada Oktober lalu, kerajaan terpaksa melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) untuk membendung penularan virus itu.
Menurut Abdul Latif, semasa PKPB had masa perniagaan dibuka sehingga jam 10 malam sahaja, dan itu menyebabkan jualan burger kembali menurun.
Beliau yang telah membuka gerai burger selama tiga tahun, dan mempunyai pengalaman dalam penghasilan produk kesihatan selama 15 tahun memberitahu pelanggan akan membeli burger sekitar jam 10 malam dan ke atas.
“Masa PKPB tahun lalu, perniagaan kena tutup 10 malam. Jadi turun sikit ‘sales’. Tapi tak banyak dan semasa dilanjutkan hingga jam 12 tengah malam semula, perniagaan masih okey.
“Sebenarnya burger ni orang akan makan dari waktu petang, malam dan awal pagi. Jadi jika waktu operasi sehingga 10 malam memang akan beri kesan pada peniaga.
“Kita pun boleh tengok orang makan burger lewat malam, selepas mereka dah makan malam. Kalau sampai jam 8 malam sahaja, mereka akan pilih makan nasi. Burger orang akan cari 10 malam ke atas,” katanya yang menetap di Rawang, Selangor.
Abdul Latif berkata, setelah kerajaan bersetuju untuk melanjutkan had masa berniaga sehingga jam 10 malam dalam tempoh PKP 2.0, peratusan hasil jualan kembali meningkat.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi negara masih belum pulih, usahawan perlu memikirkan inisiatif lain bagi menyesuaikan perniagaan mereka dengan keadaan semasa.
Oleh itu, beliau dalam perancangan untuk membantu peniaga dan individu kehilangan kerja menjadi usahawan burger dari rumah.
“Insya-Allah saya baru nak mula mencari yang berminat untuk jadi usahawan Royale Burger yang beroperasi dari rumah. Boleh hubungi saya di 011-64852265.
“Setakat ini ada 20 orang yang berminat. Tidak perlu bayar apa-apa, alat kami yang sediakan. Niat saya untuk bantu sesiapa yang hilang kerja atau nak tambah pendapatan keluarga,” ujarnya.
Mengakui situasi pandemik Covid-19 ini cukup memberi kesan kepada semua pihak, Abdul Latif berharap peniaga kuatkan semangat dan percaya rezeki telah ditetapkan oleh Allah Swt.
Beliau berkata, mereka yang kehilangan kerja boleh cuba untuk memulakan perniagaan makanan dan minuman secara kecil-kecilan kerana itu adalah permulaan yang baik untuk meningkatkan sumber pendapatan.
“Setiap ujian yang Allah beri sebab Dia nak bagi yang lebih baik pada kita. Yang penting kita jaga ibadat dan terus berusaha,” katanya. – Malaysiapost

