4 sebab Muhyiddin perlu letak jawatan – MP Pasir Gudang

0
2
PUTRAJAYA, 11 Mac -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra hari ini.?Turut hadir, Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kanan) Menteri Kanan - Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri),Menteri Kanan- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) serta Menteri Kanan- Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin (kiri).?-- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA?

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberi empat bukti kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendesak Ahli Parlimen Pagoh itu serta anggota Kabinetnya meletak jawatan serta-merta.

Beliau berkata, bukti pertama kegagalan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah menangani wabak Covid-19 dengan angka terbaharu semalam, iaitu 5,725 kes menceritakan kegagalan Presiden Bersatu itu sejak memegang jawatan pada 1 Mac 2020 dalam mentadbir Malaysia.

“Kes terkumpul mencecah lebih 200,000. Jumlah kumulatif kematian pula 733. Sehingga hari ini, vaksin untuk Covid-19 masih belum sampai ke Malaysia.

“Kesimpulannya, PM (Perdana Menteri) Muhyiddin dan Kabinet pimpinannya telah gagal menangani wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Memberikan bukti kedua, Hassan berkata dalam tempoh 11 bulan, kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020 semakin teruk iaitu jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga ke-51 pada 2019.

Katanya, kedudukan yang merosot itu antaranya disumbangkan oleh pembebasan atau pelepasan kes-kes mahkamah meragukan dalam beberapa kes berprofil tinggi seperti kes Riza Aziz, Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

“Bukti kegagalan ketiga pula, Muhyiddin bersama seluruh Kabinetnya gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Rating penarafan kedudukan kewangan Malaysia telah jatuh.

“Pertumbuhan ekonomi menguncup teruk. Berjuta rakyat hilang pekerjaan. Hutang negara bertambah. Terbaru, fakta dibentang oleh Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) berhubung pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh 68 peratus kepada AS$2.5 bilion pada 2020,” katanya.

Sementara itu, kegagalan keempat, Hassan berkata Muhyiddin memimpin sebuah kerajaan minoriti yang gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat di Parlimen dan menggunakan Proklamasi Darurat yang seterusnya menggantung Parlimen Malaysia semata-mata untuk terus berkuasa.

“Perisytiharan Darurat dijadikan alasan untuk kekal memerintah. Ini bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen diamalkan di Malaysia sejak negara kita Merdeka pada 1957. Kerajaan minoriti Muhyiddin ini tidak stabil, tidak mendapat mandat rakyat dan tidak demokratik.

“Dengan berlandaskan seekurang-kurangnya empat sebab kegagalan yang dinyatakan, maka dengan sesungguhnya demi rakyat dan Malaysia yang tercinta ini, saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinetnya meletak jawatan dengan segera,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here