MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menafikan beliau serta dua lagi individu bersamanya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini selepas gambar beliau berjalan bersama bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Dr Nordin Razak dan Datuk Nik Aminaldin Nik Jaafar yang dimuat naik di Twitter mendapat kecaman netizen.
“Foto ini timbulkan teguran tentang SOP.. Saya faham sebab komentar berasaskan foto, hakikatnya kedua-dua mereka buat aktiviti berjalan pantas, masing-masing berseorangan.
“Kebetulan terserempak di persimpangan Jalan Setia Bakti 1 (Bukit Damansara). Kami kemudian berpecah, meneruskan riadah masing-masing. SOP dipatuhi,” katanya menerusi ciapan di Twitter sebentar tadi bagi menjelaskan berhubung foto tersebut.
Annuar berkata, Nordin berumur 78 tahun manakala Nik Aminaldin, 66, dan tentunya mereka cuba berjalan pantas, bukan berjogging.
Beliau juga berkata masih ramai tidak faham pemakaian pelitup muda semasa riadah tidak digalakkan, malah doktor telah memberi nasihat berkali-kali mengenainya.
Terdahulu, Malaysiapost melaporkan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan itu ‘jalan-jalan’ pada waktu pagi bersama dua individu dan memuat naik gambar tersebut ke media sosial, mendapat perhatian netizen.
Berdasarkan semakan di Twitter Annuar, netizen mempersoalkan tindakan beliau yang disifatkan melanggar SOP PKP.
Menerusi hantaran bergambar itu, Ahli Parlimen Ketereh tersebut menulis: “Berjalan bersama saya… pagi ini.. bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Dr Nordin Razak dan Datuk Nik Aminaldin Nik Jaafar.
Berdasarkan foto tersebut, ketiga-ketiganya tidak memakai pelitup muka ketika melakukan kegiatan riadah itu.
Justeru, rata-rata netizen mengkritik dan mempersoalkan tindakan mereka. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/netizen-persoal-annuar-musa-jalan-jalan-tak-pakai-pelitup-muka/

