Skor CPI menurun, kerajaan PN tetap komited perangi rasuah

0
1

DASAR dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus kerajaan adalah jelas serta berterusan.

Demikian ditegaskan Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sebalik keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 diumumkan Transparency International (Tl) semalam yang menunjukkan skor dan kedudukan negara menurun sedikit berbanding 2019.

Menerusi kenyataan hari ini, PMO berkata seperti yang telah dimaklumkan pada peringkat awal pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pelan Antirasuah Nasional (NACP) masih diteruskan.

Ia bagi meningkat tadbir urus kerajaan selain mengurangkan dan menutup peluang rasuah dalam pentadbiran.

“Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) juga sentiasa melihat kepada kaedah bagi meningkatkan tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan.

“Malah kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas akan diambil mengikut prinsip ‘rule of law’,” kata kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan, kedudukan Malaysia dalam CPI TI-M bagi 2020 jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara.

Kata Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan, skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya, dalam tinjauan CPI itu.

Skor dan kedudukan CPI adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam negara ini pada skala sifar (dianggap paling rasuah) sehingga 100 (dianggap paling bersih). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here