SEBANYAK 5,725 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Malaysia hari ini, iaitu rekod baharu tertinggi sejak wabak itu melanda negara.
Ia juga kali pertama kes harian Covid-19 di Malaysia melepasi angka 5,000 sekali gus menyaksikan kes keseluruhan di Malaysia telah melepasi 200,000 iaitu 203,933 kes.
Sebelum ini kes tertinggi pernah dicatatkan ialah 4,270 pada 23 Januari lalu.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan memaklumkan daripada keseluruhan kes hari ini, tujuh adalah kes import dan selebihnya penularan tempatan.
Jumlah kes aktif di Malaysia juga terus meningkat kepada 45,478 kes di sebalik 3,423 kes sembuh baharu.
Selangor turut merekodkan kes harian tertinggi iaitu 3,126 kes diikuti Kuala Lumpur (687), Johor (684), Sabah (288), Sarawak (179), Terengganu (137) dan Kedah (125).
Negeri yang mencatat kes di bawah 100 ialah Pulau Pinang (99), Kelantan (93), Melaka (74), Perak (73), Negeri Sembilan (69), Pahang (67), Putrajaya (16), Labuan (5) dan Perlis (3).
Sebanyak 16 lagi kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 733 kes. – Malaysiapost

