PUTERI Umno menggesa kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya meneliti semula kenaikan harga barangan harian demi kelangsungan kehidupan rakyat.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan menerusi hantaran di Facebook berkata, rakyat kini dalam kesakitan apabila tersepit kerana pendapatan yang terjejas akibat kesan pandemik Covid-19 dan ditambah pula kenaikan harga barang keperluan.
“Aduh sakitnya… untuk menyara hidup sekarang.
“Begitu keluhnya rakyat sekarang bila kebanyakan mereka mengalami kekurangan pendapatan disebabkan pelbagai musibah yang harus diharungi sekarang ini.
“Ini pula dilanda dengan kenaikan barangan harian yang melambung termasuk harga ikan, sayur dan paling ketara harga minyak masak! Kesemua ini adalah barangan keluaran tempatan! Dimana perginya Menteri Pertanian dan Menteri KPDNHEP?,” soalnya.
Zahida turut meminta menteri terbabit untuk berhenti memberi alasan yang tidak munasabah berkaitan kenaikan harga barang, sebaliknya mencari penyelesaian.
“Apa mereka buat selain daripada memberi alasan-alasan yang tersangat bodoh, seperti musim bah.
“Musim bah dah habis, tapi barangan harian tetap terus naik. Usah diperkata harga barangan yang diimport seperti tepung, beras dan gula.
“Nilai Ringgit jatuh dan ini menyebabkan kos naik. Kenapa dulu ia dapat dikawal dengan baiknya?,” soalnya lagi.
Beliau berkata, mereka perlu bertimbang rasa kepada rakyat yang dalam kesusahan sekarang.
“Kepada menteri yang berkenaan, fikirlah kesusahan rakyat sekarang.
“Sudahlah pendapatan berkurangan, mereka berdepan pula dengan kos-kos barangan keperluan melambung tinggi yang menambah lagi kesusahan rakyat.
“Menteri haruslah berbuat sesuatu untuk meringankan beban rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Menteri KPDNHEP, Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi dipengaruhi harga minyak sawit mentah (CPO) yang meningkat sejak Ogos tahun lalu.
Tambahnya, sejak Jun tahun lalu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan trend harga minyak sawit mentah di pasaran dunia meningkat setiap bulan.
Katanya, kenaikan harga pengeluaran ini meningkat disebabkan oleh beberapa faktor iaitu peningkatan permintaan antarabangsa terhadap minyak sawit mentah dan yang telah diproses. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

