RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai berkenan membenarkan kehadiran maksimum jemaah mengikut saiz masjid bagi solat fardu bermula Subuh esok.
Pemakluman itu diumumkan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai yang juga Yang Dipertua Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut dikongsi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebook miliknya.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, perkenan itu bermula esok hingga 4 Februari ini atau sehingga tempoh baharu arahan yang mungkin dikeluarkan.
Baginda bertitah, kebenaran itu hanya terpakai di masjid dan surau asrama sahaja membabitkan anak kariah berusia 15 hingga 59 tahun, manakala sebarang aktiviti di surau seluruh negeri Perlis kekal ditangguhkan.
“Laungan azan akan dibenarkan seperti biasa dan tidak perlu menyebut (solatlah di rumah kamu).
“Aktiviti berkumpulan sama ada kelas, pengajian dan sebagainya selain solat Jumaat dan solat fardu buat masa ini masih tidak dapat dibenarkan.
“Justeru, gunakanlah kesempatan untuk meneruskan pengajian secara dalam talian atau maya,” titahnya.
Titahnya lagi, semua rakyat diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP).
“Di kesempatan ini, saya turut menyempurnakan titah DYMM Tuanku Raja Perlis kepada seluruh rakyat yang amat Baginda kasih, agar sentiasa berusaha mengembalikan negeri Perlis yang tercinta kepada status hijau,” katanya. – Malaysiapost

