Tangani Covid-19 dengan dasar lebih jelas – Anwar

0
1

POLISI atau dasar kerajaan dalam menangani Covid-19 yang mengelirukan antara punca wabak itu semakin menular. 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat selepas setahun wabak itu melanda negara ternyata berlaku beberapa kelemahan besar pada dasar yang dilaksanakan kerajaan. 
“Kita dah hadapi Covid-19 selama setahun dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama barisan hadapan dengan pengorbanan dan kepakaran mereka termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain beberapa langkah yang diambil kerajaan kita akui berkesan. 
“Tetapi selepas setahun ternyata berlaku beberapa kelemahan besar pada dasar yang tidak menentu contohnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sekejap nak diadakan dan sekejap tidak,” katanya dalam Program Bicara Kemelut Covid-19 dan Vaksin Untuk Rakyat hari ini. 
Program itu turut disertai bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan disiarkan secara langsung di Facebook miliknya. 
Anwar juga mempersoalkan mengapa tidak dilaksanakan PKP bersasar di kilang dan asrama pekerja susulan statistik menunjukkan kluster di tempat berkenaan meningkat. 
“Maknanya tumpu di situ (kilang dan asrama pekerja), buat ujian menyeluruh dan jika selesai dalam tempoh dua minggu kilang boleh beroperasi semula kerana menyekat secara menyeluruh tanpa satu dasar yang jelas akan menyebabkan ekonomi merosot. 
“Vaksin pula hanyalah satu daripada penyelesaian tetapi kesihatan perlu kita jaga, jarak atau pembatasan sosial, soal pelitup muka yang mesti digunakan, soal perhimpunan atau perjumpaan ramai yang mungkin menyebabkan kita berdepan risiko,” katanya. 
Dr Wan Azizah pula berkata, ujian besar yang negara alami ketika ini adalah berskala antarabangsa dan sangat runcing maka negara perlu membuat polisi yang boleh menyekat dengan efektif. 
“Sekarang ini kita tidak tahu apa polisi kerajaan. Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk barisan hadapan yang berusaha menyekat wabak ini tetapi kenapa ia masih merebak dan apa kelemahan yang menjadi masalah walaupun kerajaan setiap hari memaklumkan perkembangan wabak ini tetapi keberkesanannya menjadi persoalan. 
“Bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi ingin membantu bersama,” katanya. 
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, Covid-19 bermula daripada tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Singapura dan dari situ bermulanya penularannya.
Menurutnya, untuk menangani wabak berkenaan memerlukan dasar kerajaan yang lebih jelas bukan hanya berusaha mengekangnya tetapi lebih daripada itu. 
“Vaksin bukannya ‘silver bullet’ yang akan dapat menangani Covid-19 dalam sekelip mata dan keberkesanannya hanya akan diketahui paling tidak dalam tempoh 18 bulan itupun kalau kita mula penggunaan vaksin pada Mac ini.
“Untuk mencapai tahap 75 hingga 80 peratus imunisasi dalam masyarakat akan memakan masa 18 bulan menurut pakar dan itu juga pandangan saya.
“Sementara tempoh itu, apa yang akan berlaku terhadap negara, nyawa dan kehidupan,” katanya. 
Menurutnya, kerajaan jangan ambil mudah dan cuai hingga terjadinya gelombang ketiga yang tidak boleh membendungnya walaupun pelbagai langkah telah dilakukan. 
“Satu ketika, kita berjaya mengurangkan hingga satu angka jangkitan hingga ada yang menyangka kita mampu tangani wabak ini tanpa vaksin.
“Tetapi sebaik sahaja kita cuai dan mungkin meraikan kejayaan itu terlalu awal, maka hari ini kita berdepan tekanan kerana kita tidak menggunakan waktu PKP dengan baik di situlah kegagalan kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here