PKP: Kematian akibat kemalangan jalan raya menurun – Polis

0
2

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tahun lalu bermula Mac susulan penularan wabak Covid-19, dilihat turut menyumbang kepada penurunan jumlah kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Sepanjang tahun lalu jumlah kemalangan yang direkodkan adalah sebanyak 418, 237 kes berbanding 567,516 kes pada 2019 iaitu penurunan 149,279 kes kemalangan bersamaan 26.3 peratus.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Azisman Alias, berkata jumlah kemalangan maut juga mencatatkan penurunan iaitu 4,297 kes berbanding 5,764 pada 2019 dengan penurunan sebanyak 25.5 peratus.

“Jumlah kematian yang direkodkan pula adalah 4,634 kes berbanding 6,167 kematian pada 2019, perbezaan 1,533 kes atau 25 peratus menurun.

“Kemalangan motosikal paling tinggi membabitkan kematian iaitu 3,118 kes berbanding 3,959 pada 2019,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Azisman berkata, berdasarkan statistik berkenaan ia jelas menunjukkan pelaksanaan PKP dan penguatkuasaan berterusan polis menyumbang kepada penurunan kes kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Mungkin ada juga hikmahnya PKP ini, selain penguatkuasaan berterusan yang menyumbang kepada penurunan kemalangan dan diharap ia akan terus menurun.

“Dalam tempoh empat tahun kebelakangan, tahun ini adalah rekod rasmi yang dicatatkan jumlah kemalangan paling rendah.

“Sudah tentu tahun lalu ada PKP dan bukan kita nak minta PKP tetapi jelas kalau kurangnya kenderaan di jalan raya dan kalau sikap pengguna jalan raya dapat diubah ia akan membantu penurunan kemalangan dan kematian ini,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik sama pada tahun lalu purata kematian harian akibat kemalangan jalan raya adalah 12.7 kes sehari berbanding 16.8 kes sehari pada 2019 dan pihaknya berharap tahun ini ia berkurangan hingga 10 kes sehari sahaja.

Sementara itu, beliau berkata, kutipan saman pad tahun lalu adalah sebanyak kira-kira RM395 juta berbanding RM305 juta pada tahun sebelumnya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here