TIADA keperluan menghadkan umur untuk menjadi ahli parlimen, yang penting adalah kebolehan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan, June Arthisha Mohamad Nazri, berkata negara lain juga kebanyakannya tidak mengamalkan had umur maksimum ahli parlimen mereka.
Menurutnya, had umur tidak perlu dijadikan satu halangan atau perkara utama untuk membuat rombakan.
“Seperti yang kita tahu Presiden Amerika yang baru mengangkat sumpah Joe Biden pun umur lebih 70 tahun,” katanya dalam program bertajuk Berani Semuka: Ahli Parlimen Perlu Ada Had Umur? yang disiarkan secara langsung di media sosial Sinar Harian semalam.
Dalam program itu June Arthisha menjadi wakil pembangkang, manakala Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Thannusha FX mewakili kerajaan.
Mengulas lanjut, June Arthisha turut mempersoalkan mengapa ahli parlimen yang berumur, berkaliber dan terbukti boleh menjalankan tugasnya dengan baik dihalang menjawat jawatan berkenaan. “Kenapa kita nak tetapkan anda 60 tahun berhenti, bagi kepada orang lain pula,” katanya.
Menurutnya, aspek lain yang perlu diberi perhatian adalah seperti menghadkan jumlah ahli keluarga yang memegang jawatan sebagai ahli parlimen.
“Sebab ahli parlimen bukannya kepunyaan keluarga. Bukannya kita nak jadikan satu keluarga itu sahaja yang dapat menguasai parlimen.
“(Selain itu) mungkin juga (dicadangkan) ahli parlimen yang telah dipilih tidak lagi bertanding di Dewan Undangan Negeri. Itu antara aspek yang kita boleh beri perhatian,” katanya.
Cadangan lain dikemukakan June Arthisha adalah sesuatu kawasan yang mahu diwakili itu perlulah mengikut demografi umur penduduk.
“Jika kawasan yang agak pedalaman umurnya mungkin 40 tahun lebih ramai, ahli Parlimennya perlu mengikut umur itu,” katanya. – Malaysiapost

