NORMA baharu sesi pembelajaran di rumah bukan sahaja menjadi kesukaran kepada pelajar, malah para pendidik juga turut berdepan dengan situasi yang sama.
Seorang guru menarik perhatian warganet apabila secara tidak sengaja terbawa sekali daun limau purut ketika sesi mengajar dalam talian pelajarnya.
Menerusi aplikasi Tiktok milik anaknya, kelihatan guru yang dikenali sebagai Cikgu Rasyidah sedang mengajar namun bergegas ke dapur untuk memasak.
Bekerja di rumah tidak menghalang Cikgu ini melakukan dua tanggungjawab sekaligus iaitu sebagai seorang guru dan juga ibu.
Sambil memegang daun limau purut, dia kelihatan tergesa-gesa ke dapur setelah memberi arahan kepada pelajarnya menerusi laptop.
Menariknya, hanya seorang pelajar sahaja mengikuti sesi pembelajaran itu, namun Cikgu Rasyidah tidak terasa hati kerana memahami bahawa bukan mudah untuk pelajar istimewa menyesuaikan diri dengan norma baharu ini.
Guru yang mengajar Pendidikan Khas ini tetap bersemangat dan sempat berseloroh akan memberi ganjaran kepada pelajar tunggal yang mengikuti sesi pembelajaran itu.
“Belajar yang mudah-mudah sahaja hari ini, kamu seorang je yang mengikuti kelas cikgu hari ini.
” Takpe, nanti Cikgu bagi reward pada kamu kerana kesungguhan kamu ini,” kata cikgu ini.
Video berdurasi 23 saat itu telah mengundang pelbagai komen warganet.
Rata-rata lucu dengan aksi guru tersebut namun tetap memujinya kerana telah mempamerkan kesungguhan melaksanakan tanggungjawab sebagai guru.
Malah ada seorang warganet memberi komen bahawa ibunya yang juga seorang guru selalu melakukan aksi yang serupa seperti Cikgu Rasyidah.-Malaysiapost

