JAWATANKUASA Teknikal Pengurusan Darurat bersetuju untuk memobilisasi sumber perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri dalam menangani penularan wabak Covid-19.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, jawatankuasa yang ditubuhkan bagi memantau isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat itu sudah bersidang empat kali dan beberapa fokus utama telah dipersetujui oleh Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, antaranya adalah penjajaran sementara kakitangan awam ke tempat yang memerlukan perkhidmatan tambahan terutama perkhidmatan sokongan kesihatan dan keselamatan.
“Penggunaan aset kerajaan yang kurang optimum seperti kenderaan jabatan yang boleh di kongsi untuk menyokong kelancaran operasi perkhidmatan kritikal agar lebih bersepadu dan selaras.
“Bangunan dan fasiliti kerajaan yang bersesuaian akan dikenalpasti di seluruh negara bagi tujuan pusat pengambilan ‘swab test’,” katanya dalam satu kenyataan mengenai pengurusan darurat hari ini.
Mohd Zuki berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan bertanggungjawab menyelaras perkara itu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kementerian atau Jabatan serta agensi lain yang terbabit.
Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa berkenaan juga bersetuju menyekaraskan integrasi keupayaan bagi perkhidmatan hospital awam dan swasta dalam tempoh darurat.
“Memastikan koordinasi yang sistematik agar jaminan akses Kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu dapat dilaksanakan bagi pesakit Covid-19 serta bukan Covid-19.
“Mengoptimakan sumber kesihatan dan kepakaran selain pengoperasian hospital awam termasuk hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta yang akan diletakkan secara hibrid berdasarkan konsep hospital kluster dibawah Pusat Kawalan Covid-19 Bersepadu,” katanya.
Menurutnya, kapasiti makmal sedia ada juga akan digunakan semaksima mungkin termasuk makmal di jabatan kerajaan dan universiti awam untuk ujian pengesanan Covid-19 secara bersekala besar.
Katanya, mobilisasi lain-lain sumber perubatan seperti peralatan, PPE, ubatan adalah mengikut keperluan hospital termasuklah anggota perubatan seperti jururawat dari hospital swasta untuk bertugas sementara di hospital awam.
“Mekanisme pembiayaan pesakit Covid-19 oleh pihak insurans di hospital swasta juga sedang diperhalusi dan ketika ini peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit Covid-19 yang mampu memviayabsendiri kos perubatan dan rawatan.
“Kementerian Kesihatan akan terus melaksanakan libat urus dengan pihak hospital swasta dan Pihak berkepentingan lain dalam memastikan kelancaran pengurusan Covid-19 serta perkhidmatan kesihatan umum tidak terjejas,” katanya.
Mohd Zuki berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan bertindak memgumpul sebarang pandangan atau maklumbalas rakyat bagi memberi gambaran sebentar kepada kerajaan mengenai situasi darurat semasa.
“Ingin saya tekankan pentadbiran perkhidmatan awam dalam temoih darurat ini tidak akan terjejas dan berfungsi seperti sedia ada,” katanya. -Malaysiapost

