TAHAP kebolehjangkitan wabak Covid-19 di Terengganu kini mencapai nilai Rt 1.52 atau seorang pesakit boleh menjangkiti 1.5 individu lain.
Keadaan itu ternyata membimbangkan susulan negeri terbabit yang sebelum ini zon hijau, namun bertukar menjadi zon merah hanya dalam tempoh sebulan.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata nilai Rt di Terengganu buat masa ini adalah yang tertinggi direkodkan setakat Ahad lalu.
“Dalam masa empat minggu Terengganu dari awalnya (zon) hijau, tiba-tiba merah menyala.
“Semoga perubahan peta ini telah memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat di Terengganu tak kira warna kulit, bangsa, agama, keturunan, darjat, atau pangkat kerana virus Covid 19 tak kenal siapa kita,” katanya melalui hantaran di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, statistik menunjukkan nilai Rt pada 21 Januari lalu adalah 57 kes (Rt 1.32), 22 Januari 178 kes (Rt 1.49) dan pada 24 Januari 179 kes (Rt 1.52).
“Nilai Rt di Terengganu buat masa ini adalah tertinggi. Adakah ini juga tidak memberi kesan kepada kita semua.
“Nilai Rt 1.52 bermaksud seorang pesakit di Terengganu boleh menjangkiti 1.5 individu lain. Kalau 10 orang boleh menjangkiti 15 individu lain. Kalau 179 kes, kira sendiri,” katanya.
Beliau berkata, walaupun nilai Rt berubah mengikut bilangan kes, semua pihak harus cakna akan kebolehjangkitan Covid-19 yang tinggi di Terengganu.
“Untuk kembalikan peta Terengganu menjadi hijau dan turunkan Rt kurang dari 1.0, rakyat kena serius dengan strategi rakyat iaitu kawalan pergerakan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Barulah kita boleh menang,” pesannya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

