
Nilam Oshman
GOLONGAN akademik bersetuju dengan saranan supaya kerajaan memperkasakan pembelajaran melalui TV pendidikan, bagi memberi akses lebih meluas kepada semua murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata ini kerana pelaksanaan PdPR mempunyai banyak kekangan iaitu dari segi liputan rangkaian internet serta sebahagian murid terutama dari golongan B40, tidak mampu menyediakan peranti seperti komputer riba, telefon pintar atau tablet.
Justeru, katanya, untuk persekolahan 2021, ahli akademik telah memberikan beberapa cadangan bagi menambahbaik PdPR, antaranya menggunakan TV pendidikan.
“Kalau kita lihat dalam konteks Malaysia, silibus yang digunakan oleh sekolah rendah atau menengah hampir sama terutama kursus-kursus utama.
“Jadi adalah wajar dan tidak mustahil diseragamkan maklumat tersebut dan kemudian dipancarkan melalui televisyen yang liputannya lebih mudah dan senang (berbanding penggunaan internet),” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Mengulas lanjut, Dr Mohammad Shatar berkata pendidikan melalui televisyen sebenarnya telah dilaksanakan di mana guru-guru suatu masa dulu sering menetapkan masa tertentu untuk murid menontonnya di dalam kelas.
“Perkara sama juga dilakukan di negara-negara maju melalui televisyen awam, menyiarkan beberapa perkara berkaitan pembelajaran.
“Jadi saya rasa ia (TV pendidikan) munasabah, menjimatkan dan paling penting berkesan,” katanya.
Beliau berkata, melalui TV pendidikan, sekurang-kurangnya selepas murid menonton apa yang dibincangkan minggu tersebut, kemudian ia boleh diperhalusi oleh guru atau sekolah terlibat.
“Contoh hari ini belajar tentang fotosintesis melalui TV pendidikan, selepas menonton, guru akan menyoal mereka berkenaan tajuk itu dan ada sesi soal jawab.
“Maka ia dapat meningkatkan tahap kefahaman pelajar dan dalam masa sama boleh meningkatkan kreativiti dan pemikiran pelajar serta kemahiran komunikasi.
“Jadi saya rasa kombinasi ini sangat baik untuk melahirkan pelajar yang lebih kompeten dan mampu bersaing. Sama juga jika menggunakan YouTube, ia juga sistem pendidikan cuma menggunakan kaedah berbeza,” katanya.
Sebelum ini Malaysiapost melaporkan, pelbagai pihak berharap kerajaan dapat mempermudahkan pelaksanaan PdPR melalui saluran sistem televisyen sedia ada untuk mengelak beban rakyat, terutama ibu bapa dan rakyat di pedalaman yang terbeban dengan kos persediaan kelas online. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
