Mahkamah tangguh pendengaran rayuan 16 bekas ahli Umno

0
2

MAHKAMAH Persekutuan menangguhkan pendengaran rayuan 16 bekas ahli Umno ke satu tarikh lain bagi kes pembubaran Umno.

Penangguhan itu bertujuan mendengar hujahan lanjut berkenaan beberapa isu antaranya, Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 iaitu kuasa daftar dan membatalkan sesuatu pertubuhan ialah kuasa Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bukan kuasa mahkamah.

Selain itu, tiada ‘locus standi’ 16 bekas ahli Umno untuk membawa kes itu ke mahkamah kerana mereka bukan lagi ahli parti terbabit.

Perlembagaan Umno menyatakan keahlian mereka gugur secara automatik jika ahli membawa apa-apa kes parti ke mahkamah.

Ketiga, isu itu telah menjadi akademik kerana Umno telahpun menjalankan pemilihan di semua peringkat parti pada Jun 2018.

Pada 20 April 2017, 16 bekas ahli Umno tersebut memfailkan permohonan kebenaran, antaranya bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Umno tidak sah kerana melanggar perlembagaannya setelah gagal mengadakan pemilihan di peringkat Cawangan, Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi selama hampir lima tahun.

Dalam permohonan itu, mereka menamakan ROS dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh (dalam kapasiti selaku pegawai awam dalam parti), sebagai responden pertama dan kedua.

Semua 16 bekas ahli itu turut memohon beberapa perintah mahkamah dan pengisytiharan berhubung kedudukan dan status Umno yang didakwa melanggar perlembagaan parti.

Menurut mereka, Umno menunda pemilihan bagi semua peringkat dua kali, melebihi tempoh maksimum 18 bulan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Mereka juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan ROS yang memberi lanjutan masa kepada Umno untuk mengadakan pemilihan sehingga 19 April 2019.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan 16 bekas ahli Umno itu yang diwakili Salihudin Ahmad Khalid selepas membenarkan bantahan awal Pejabat Peguam Negara dan memutuskan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara membabitkan pertelingkahan antara ahli dalam parti politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here