Isu darurat: Ummah minta polis siasat Anwar

0
2

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO), Gerakan Pembela Ummah (Ummah) membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berhubung tindakan Ahli Parlimen Port Dickson itu menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen bagi mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pengisytiharan Darurat.

Laporan tersebut dibuat Setiausaha Agung Ummah, Khalil Idham Lim Abdullah di Balai Polis Bagan Serai di Perak, petang semalam.

Menerusi laporan itu yang dilihat Malaysiapost, Khalil memaklumkan beliau berpandangan bahawa tindakan Anwar itu adalah hasutan kepada pihak lain supaya mencabar atau mempersoal Proklamasi Darurat kerana tindakan beliau jelas mendatangkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Laporan itu antara lain menyebut tindakan Anwar sangat serius kerana beliau adalah Ketua Pembangkang di Parlimen, Pengerusi Pakatan Harapan, Presiden PKR, Ahli Parlimen dan mantan Timbalan Perdana Menteri yang ramai pengikut.

“Kesalahan yang dibuat Anwar ini sangat serius kerana ia boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara. Oleh itu, saya minta polis membuat siasatan ke atasnya,” kata laporan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata pihaknya akan mengerakkan Ummah negeri di seluruh negara membuat laporan polis kepada Anwar.

Katanya, ia dibuat berdasarkan kepada hasutan Anwar kepada Ahli Parlimen agar mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membatalkan darurat.

“Hasil seruan itu beliau mendakwa telah mempunyai sokongan 114 atau 115 bagi mengadakan sidang Parlimen.

“Sehubungan itu, bagi hentikan tindakan menghasut ini, Ummah membuat laporan agar polis membuat siasatan dan tindakan pencegahan bagi bagi kestabilan negara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here