Nurul Huda Abhar
BERIKUTAN pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) ketika ini, semua murid dan pelajar terpaksa mengikuti kelas secara dalam talian bagi mengekang penularan kes jangkitan Covid-19.
Terdapat pelbagai keluhan daripada ibu-bapa yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk menyediakan gajet bagi anak-anak, selain berdepan serta masalah rangkaian internet terutama di kawasan pedalaman.

Tidak terkecuali, murid dari Kampung Waluhu di Ranau, Sabah yang terpaksa meredah hutan, dan risiko berdepan binatang buas demi mendapatkan akses internet untuk memenuhi tuntutan pembelajaran dalam talian.
“Ketiadan jaringan telefon menyebabkan pelajar-pelajar berumur tujuh hingga 13 tahun terpaksa meredah hutan berdepan dengan bahaya binatang buas dan berbisa demi memenuhi tuntutan pelajaran secara online di masa pandemik Covid-19 ini.
“Kampung Waluhu adalah sebuah kampung kecil dalam daerah Ranau. Kampung ini terlalu daif dari segi pembangunan infrastruktur jalan raya dan rangkaian komunikasi,” kongsi akaun Facebook Syam Syah.

Hantaran tersebut juga memuat naik foto sekumpulan murid berada di kebun kelapa sawit sedang tekun mengikuti kelas dalam talian.
Entri berkenaan juga dikongsi oleh Facebook Kelab Che Det, dan rata-rata pengikut laman sosial itu memberitahu ia situasi sebenar dan cabaran murid di pedalaman Sabah terpaksa hadapi disebabkan kekangan rangkaian internet.
Beberapa komen juga menyatakan mereka perlu pergi ke kawasan berbukit, kebun atau terpaksa memanjat pokok untuk mendapat akses internet yang lebih baik.
Terkini, semakan Malaysiapost pada entri itu mendapati ia telah dikongsi 266 akaun lain dan menerima 2,600 tanda suka. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2020/11/26/tiga-pelajar-cedera-terjatuh-semasa-cari-capaian-internet/

