PEMUDA Umno Perak menyelar tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur desakan supaya presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur.
Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid, berkata ahli dan pemimpin Umno perlu berfikir impak dan kesan kepada imej parti dan institusi presiden melalui kenyataan-kenyataan peribadi yang dikeluarkan.
“Dalam keadaan negara menghadapi waktu yang sukar kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta peningkatan kes Covid-19, seharusnya fokus ditumpukan kepada bebanan dihadapi oleh rakyat dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan yang langsung tidak menyumbang kepada keperluan rakyat.
“Perbezaan pendapat harus diselesaikan secara berhemah dan bijak melalui konsep musyawarah.
“Hal dalaman parti tidak perlu diulas secara umum kerana apa yang penting adalah bagaimana untuk menguatkan serta mengangkat martabat parti keramat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Pemuda Umno Perak yakin dengan kekuatan yang dibina presiden parti itu dalam menegakkan layar di saat Umno dipukul ombak.
“Didalam pertempuran, selain strategik kalis masa dan pasukan yang kuat, kepercayaan serta keyakinan kepada kepimpinan yang mengemudi organisasi dalam institusi adalah kunci utama kemenangan.
“Pemimpin dan ahli Umno harus berprinsip dan konsisten dalam perjuangan. Dalam keadaan Umno berdepan dengan ancaman dari segenap sudut, seharusnya kita menguatkan tiang serta tunjang parti.
“Jangan biarkan api yang kecil ini membakar tiang yang telah dibina,” ujarnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid digasak oleh sekumpulan pemimpin daripada sayap Pemuda parti itu sendiri supaya beliau melepaskan jawatan Presiden Umno.
Ketua Pemuda Seremban, Zool Amali Hussin senada dengan Ketua Pemuda Pontian, Mohd Helmi Buang yang meminta Ahmad Zahid supaya berehat daripada memimpin parti itu.
Saranan tersebut menurut mereka adalah gesaan daripada akar umbi.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid
menyatakan pendiriannya untuk terus mempertahankan Umno meskipun pelbagai serangan daripada musuh parti itu yang tanpa henti menyerangnya.- Malaysiapost.
Artikel berkaitan :

