TINDAKAN kerajaan yang masih membenarkan sektor perkilangan dan pembinaan terus beroperasi ketika wabak pandemik Covid-19 semakin ‘mengganas’ ketika ini menimbulkan persoalan di kalangan rakyat.
Perkara itu disuarakan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang hairan kerana kedua-dua lubuk jangkitan Covid-19 itu masih dibenarkan beroperasi sedangkan pematuhan Operasi Prosedur Standard (SOP) seperti penjarakkan fizikal amat sukar dilaksanakan.
“Itu kluster tempat kerja yang menjadi lubuk jangkitan Covid paling tinggi. Soalnya semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kenapa sektor ini dibenarkan beroperasi. Sepatutnya pantaulah dengan ketat.
“Menteri dakwa kes Covid-19 naik sebab orang ramai gagal patuhi SOP penjarakkan fizikal.
“Bagaimana mahu melakukan penjarakkan fizikal di kilang dan tapak pembinaan? SOP kena jelas. Apakah mereka perlu guna pakaian PPE di tempat kerja, ” katanya di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, rakyat kini bertambah keliru dan boleh mencetus panik susulan tular surat pekeliling Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) yang mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan sepenuhnya selepas 4 Februari ini jika kadar jangkitan Covid-19 tidak menurun.
“Bagaimana perkara “rahsia” boleh bocor awal. Rakyat tambah keliru dan boleh panik.
”Apakah kerajaan ‘in control’. Bagusnya kalau Parlimen boleh bersidang. Adalah check and balance (periksa dan imbang),” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

