Cuma tinggal 12 zon kuning di Semenanjung

0
2

HANYA tinggal 12 zon kuning Covid-19 di Semenanjung Malaysia setakat semalam, menurut infografik Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia berdasarkan pergerakan 14 hari taburan kes Covid-19 mengikut daerah di Malaysia mulai 11 Januari lalu sehingga semalam.

Terdapat enam zon kuning di Pahang iaitu Jerantut, Bera, Lipis, Raub, Cameron Highlands dan Rompin manakala dua di Kedah iaitu Padang Terap dan Bandar Baharu.

Masing-masing satu kawasan zon kuning di Perak (Hulu Perak), Kelantan (Jeli), Terengganu (Kemaman) dan Negeri Sembilan (Jelebu).

Pada masa sama, terdapat lapan kawasan zon jingga iaitu Perak Tengah (Perak), Sik, Pendang, Langkawi dan Yan (Kedah), Pekan dan Marah di Pahang serta Tampin di Negeri Sembilan.

Di Sarawak masih terdapat enam zon hijau manakala 16 zon kuning serta masing-masing lima zon jingga dan merah.

Sabah pula menyaksikan hanya Kuala Penyu dan Tongod berada dalam zon kuning serta tiga daerah zon jingga dan selebihnya iaitu 22 zon merah.

Untuk rekod, zon merah mempunyai lebih 40 kes positif Covid-19, manakala kawasan yang mempunyai 21 hingga 40 kes positif dirujuk sebagai zon jingga.

Zon kuning pula merujuk kawasan yang dengan satu hingga 20 kes positif, manakala zon hijau adalah kawasan tiada kes positif.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi infografik itu di Facebooknya berkata, Covid-19 cepat merebak dan menjangkit dalam masyarakat tanpa mengira usia, bangsa, agama, kedudukan atau darjat.

“Sila duduk di rumah dan jika terpaksa keluar patuhilah segala SOP. Kita perlukan disiplin dan tanggungjawab sosial yang tinggi untuk membendung jangkitan Covid-19 dalam negara kita,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here