PKRC MAEPS masih mampu tampung pesakit gejala rendah

0
1

PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) masih mampu menampung pesakit Covid-19 bergejala rendah di Selangor.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata secara purata penggunaan katil di PKRC antara 3,000 hingga 3,500 dan setakat ini masih ada kira-kira 5,000 katil belum digunakan.

“Di PKRC MAEPS, kita ada 9,350 katil untuk pesakit bergejala rendah kategori 1 dan 2, sekarang kita sudah letakkan 60 ‘acute bed’ untuk merawat pesakit kategori 3 dan 4.

“PKRC ini direka bukan saja untuk menerima kes positif dari Selangor dan Kuala Lumpur tetapi juga pesakit dari Melaka, Negeri Sembilan serta Johor,” katanya seperti dilaporkan Bernama semalam.

Sebelum ini, tular beberapa video menerusi media sosial menunjukkan kononnya berlaku kesesakan di PKRC MAEPS akibat pertambahan jumlah pesakit yang mendadak.

Pada 9 Disember lalu, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula MAEPS sebagai PKRC.

Kali pertama MAEPS diaktifkan sebagai PKRC ialah pada 16 April tahun lalu sebelum ditutup pada 15 Julai.

Pembukaan PKRC adalah usaha kerajaan menempatkan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala bagi memastikan kecukupan katil di hospital untuk pesakit bergejala.

Sementara itu, Dr Sha’ari mengesahkan jangkitan membabitkan seorang jururawat di Hospital Shah Alam baru-baru ini daripada komuniti dan bukan berpunca di hospital.

Katanya petugas terbabit sudah disaring dan kini dirawat manakala semua kontak rapat sudah menjalani ujian saringan dan didapati negatif.

“Keadaan di Hospital Shah Alam juga terkawal dan kes ini dikategorikan kes terpencil kerana punca jangkitan bukan daripada hospital,” katanya.

Dr Sha’ari turut menasihati orang awam untuk terus kekal di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

Berita berkaitan :

PM turun padang lawat PKRC MAEPS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here