PKPD Penjara Bentong, kuarters kakitangan bermula esok

0
2

KERAJAAN hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan bermula esok sehingga 8 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah PKPD itu susulan peningkatan kes positif Covid-19 di Penjara Bentong.

“Sehingga kini, sebanyak 615 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak jangkitan Covid-19 dalam masa singkat dalam kalangan tahanan di penjara berkenaan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan bermula 25 Januari sehingga 8 Februari 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here