
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, B Sathianathan melihat penangguhan Liga Malaysia (Liga M) sebagai jalan yang terbaik supaya setiap pasukan mendapat ruang yang secukupnya untuk menjalani latihan sebelum kembali dalam saingan kompetitif.
Ia susulan timbul persoalan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 4 Februari ini akan dilanjutkan ataupun tidak.
“Kalau kita ambil kira tarikh akhir PKP pada 4 Februari dan katakanlah ia tidak disambung, kita ada tempoh tiga minggu sebelum sepak mula. Tiga minggu adalah minimum untuk menjalani persiapan tetapi saya tidak selesa kalau dapat tiga minggu sahaja.
“Persiapan paling ideal adalah selama tujuh minggu kerana kita perlu ada persiapan dengan cukup baik bagi mengelak kecederaan. Memang pemain menjalani latihan secara dalam talian tetapi ia berbeza dengan latihan di atas padang.
“Jadi saya berpandangan lebih baik kalau Liga M ditangguhkan dulu tetapi kita pun perlukan satu tarikh yang sudah ditetapkan supaya kita boleh menyusun perancangan,” katanya seperti dilapor BH.
Sementara itu, Sathianathan berharap industri bola sepak turut dibuka sama seperti industri lain yang dibenarkan beroperasi ketika PKP.
“Industri bola sepak di Malaysia ini adalah satu pekerjaan dan bukan setakat main-main. Apabila industri bola sepak ditutup, ia memberi kesan kepada semua pihak yang terbabit.
“Kita sudah merasai perkara sama pada musim lalu sehingga gaji terpaksa dipotong 30 peratus. Jadi, saya harap pasukan akan diberi pelepasan untuk menjalani latihan,” katanya.-Malaysiapost
