Tindakan pantas JAS selamatkan jutaan pengguna hadapi masalah air

0
3

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Selangor berjaya menghalang kegiatan sebuah kilang pembuatan baja tanpa lesen yang dipercayai dalam proses membuang sisa kimia ke Sungai Kuang di Rawang, kelmarin.

Ia sekali gus mengelak sisa kimia mengalir ke Sungai Kuang dan seterusnya ke Sungai Kundang dan Sungai Selangor yang menjadi sumber air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3, di mana loji itu membekalkan air bersih kepada jutaan pengguna di Lembah Klang.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, operator kilang terbabit bersedia untuk mencuci tong intermediate bulk containers (IBC) bercampur sisa kimia.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa tong lain sempat dicuci operator terbabit sebelum ini apabila terdapat kesan-kesan aliran air cucian memasuki Sungai Kuang.

“Premis itu dipercayai baru seminggu beroperasi dan turut melakukan kerja sampingan iaitu mencuci tangki IBC.

“Ketika serbuan terdapat 60 tong IBC yang setiap satu berisi 1,000 liter sisa kimia sebelum bahan berbahaya itu dipercayai dilepaskan di Sungai Kuang berdasarkan penemuan satu saluran keluar ke sungai itu,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Jarak di antara kilang pembuatan baja itu dengan Sungai Kuang sejauh kira-kira 20 meter sahaja.

Nor Aziah berkata, IBC itu dipercayai dari kilang-kilang di sekitar Lembah Klang dan premis terbabit menjadi tempat pelupusan bahan kimia tersebut.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan premis terbabit mengambil kesempatan menjalankan kerja mencuci IBC kerana beranggapan tiada rondaan dan tindakan penguatkuasaan sepanjang tempoh Pe­rintah Kawalan Pergerakan.

“Dalam serbuan itu, dua sampel cecair telah diambil untuk dianalisis. JAS turut merampas kelengkapan pencucian melalui pengeluaran notis Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan setakat ini sehingga kertas siasatan lengkap.

Difahamkan, kilang tersebut telah disita Majlis Perbandaran Selayang, semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here