PENGELOLA liga bola sepak, Malaysian Football League (MFL) malam tadi menafikan laporan yang menyatakan saingan Liga Super musim 2021 akan dibatalkan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya sedang berusaha memastikan kalendar bola sepak Malaysia berjalan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
Katanya, MFL dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Sukan Negara (MKN) masing-masing sedang melihat mekanisme terbaik menjalankan Liga Malaysia (Liga M) 2021 selaras amalan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Pertama, saya mahu menafikan dengan laporan berita mengatakan Liga Malaysia musim 2021 dibatalkan dan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan beliau tidak membuat kenyataan kepada mana-mana media akhbar atau blog tempatan.
“Untuk makluman, MFL telah mengadakan mesyuarat dalam talian bersama Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
“Dalam mesyuarat itu, MFL dan MSN masing-masing membincangkan serta mengkaji mekanisme pelaksanaan Liga M 2021 dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Ab Ghani berkata mesyuarat itu diadakan sebagai usaha memastikan kalendar bola sepak Malaysia berjalan seperti dirancang selaras amalan SOP ditetapkan KKM.
“Saya kesal dengan segelintir pihak yang cuba mengagalkan usaha keras kami untuk memastikan Liga M 2021 berjalan seperti biasa melalui perkhabaran palsu ini,” katanya.
Sementara itu Ab Ghani memaklumkan MFL akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kalendar liga tempatan bagi musim 2021 pada minggu hadapan.
“Perubahan daripada jadual itu dijangka akan berlaku berikutan penguatkuasaan PKP dan itu tidak boleh dinafikan tetapi pembatalan Liga M 2021, InsyaAllah tidak akan terjadi,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial Liga M dibatalkan dengan dakwaan mengatakan ia dikeluarkan oleh Presiden MFL. – Malaysiapost

