BOSAN dengan isu jalan raya bermasalah di Dusun Tua, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, Edry Faizal Yusof mengambil inisiatif menampal sendiri jalan-jalan berlubang demi keselamatan dan keselesaan pengguna.
Inisiatif itu dilaksanakan wakil rakyat DAP tersebut bersama sukarelawan Gerak 23 dengan kerjasama Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi yang memberi tunjuk ajar.
Edry Faizal berkata, ramai penduduk DUN Dusun Tua mengadu berkenaan isu jalan bermasalah dan pihaknya sudah melakukan pelbagai cara untuk menyelesaikannya.
Katanya, terdapat sebahagian jalan sudah dibaik pulih namun malangnya selepas itu rosak semula.
“Pelbagai surat juga telah dikirimkan kepada pihak berwajib. Ada yang disebabkan faktor peruntukan daripada Kementerian Kerja Jaya, naik taraf jalan tidak boleh dilakukan di Jalan Persekutuan seperti Jalan Hulu Langat.
“Keadaan seperti ini, tidak sesekali patut berlaku. Saya sangat khuatir keselamatan pengguna jalan raya apatah lagi kebanyakan mereka adalah penduduk DUN Dusun Tua.
“Oleh itu, saya bersama Sukarelawan Gerak 23 menampal sendiri jalan-jalan yang berlubang di sekitar kawasan DUN Dusun Tua, sementara menunggu tindakan agensi berkaitan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Katanya lagi, dalam tempoh dua hari mereka sempat menampal beberapa lubang di Jalan Kampung Sungai Gahal, Jalan simpang tiga keluar dari Taman Lagenda Suria, Jalan menuju ke Taman Perkasa, Jalan di Taman Sri Nanding dan jalan menuju SMK Dusun Nanding.
“Saya bersama Sukarelawan Gerak 23 akan terus berusaha seberapa segera menampal jalan di sekitar Dun Dusun Tua.
“Jika ada yang mahu lapor tentang lubang berbahaya di atas jalan, boleh pm (mesej) saya terus di Facebook atau hubungi Syazwan (+6012-268 0829). Kami sedia membantu,” katanya. – Malaysiapost

