Nilam Oshman
GURU disaran tidak hanya fokus terhadap topik dalam sesebuah mata pelajaran sepanjang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata kaedah mengajar secara dalam talian boleh dipelbagaikan termasuk menerapkan aspek pembangunan fizikal, rohani dan sosialisasi.
Ini katanya bagi mengelak murid cepat bosan serta mengantuk di depan komputer hingga akhirnya tidak fokus serta tidak faham apa yang diajar guru.
“Ada sebahagian ibu bapa melihat PdPR ini lebih tumpu kepada mata pelajaran sahaja.
“Macam mana hak-hak pembangunan lain seperti pembangunan fizikal, rohani dan sosialisasi? Justeru jika hanya PdPR anak-anak cepat bosan.
“Jadi guru ambil perhatian jugalah, pastikan murid betul-betul di depan komputer, beri tumpuan pada masa yang dinyatakan dan minta mereka fokus,” katanya kepada Malaysiapost.
Dalam pada itu, Dr Mohamad Ali berkata semua pihak sama ada guru, ibu bapa dan penjaga termasuk pihak sekolah sedang menyesuaikan diri dengan sistem PdPR norma baharu ini.
“Ada yang menerima secara baik.. ada yang mengeluh, ada yang tertanya-tanya sampai bila.
“Apapun kita perlu menerima hakikat itu… kaedah (PdPR) baik juga, dan diharap ibu bapa khususnya di rumah memberi sokongan dan membimbing serta mendisiplinkan anak-anak untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran norma baharu ini.
“Jadi apa saja permasalahan, pertama perlu dimaklumkan guru atau pihak pendidik,” katanya.
Mengenai rungutan atau isu berbangkit ibu bapa berkaitan PdPR ini, beliau berkata, sesetengah ibu bapa merungut kerana sebahagian besar mereka bekerja dari rumah, jadi berlaku persaingan dengan anak-anak terhadap rangkaian internet.
“Malah, tumpuan ibu bapa tidak dapat diberi sepenuhnya kepada anak-anak kerana bekerja di rumah, ada tugasan yang perlu diselesaikan.
“Selain itu, rungutan kestabilan internet kadang-kadang tak stabil, putus, terhenti… ini yang selalu dihadapi,” katanya.
Sementara itu, beliau mencadangkan Kemenangan Pendidikan (KPM) mewujudkan ‘pusat rujukan’ bagi menyelesaikan masalah dan membolehkan ibu bapa mengemukakan aduan sepanjang proses PdPR.
Beliau berkata pusat rujukan atau Pusat PdPR itu perlu beroperasi di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Katanya, ia supaya semua permasalahan, aduan atau bantuan teknikal dapat diatasi, susulan pelbagai isu yang timbul selepas tiga hari sesi persekolahan secara PdPR.
“Individu yang ditugaskan di pusat rujukan tersebut bukan setakat duduk di pejabat.
“Malah turun padang dan selesaikan sama ada isu teknikal, ketidakcapaian internet, kekurangan peranti, kurikulum yang tidak difahami serta menjaga sistem pengukuran dan penilaian untuk menjadi lebih baik dan berkesan,” katanya. – Malaysiapost.

