Boleh tak kita rawat Covid-19 sebagai selesema biasa?

0
1

SEORANG doktor memuat naik hantaran di Facebook bagi memberi penjelasan berhubung pertanyaan pelbagai pihak sama ada Covid-19 boleh dirawat sebagai selesema biasa.

Dalam hantarannya semalam, Dr Muhamad Naim Ab Razak berkata sebenarnya Covid-19 tahap 1 hingga sebahagian tahap 3 tidak memerlukan rawatan spesifik.

Sebaliknya, beliau menjelaskan rawatan yang diberi adalah berbentuk rawatan sokongan, malah ada pesakit yang langsung tidak memerlukan ubat-ubatan.

“Jadi, kenapa kita perlu kecoh-kecoh sangat kalau ia tidak memerlukan rawatan spesifik di peringkat awal?”

“Sebenarnya begini. Pengetahuan kita tentang Covid-19 telah bertambah berbanding setahun yang lalu. Tapi, masih banyak yang kita belum betul-betul pasti tentangnya dan memerlukan kajian lanjutan.

“Contohnya, influenza lebih bersifat secara bermusim. Itu corak kehidupan virus penyebab selesema. Tapi Covid-19 kelihatan membiak dengan subur sepanjang tahun dan telah melalui semua musim tanpa berhenti merebak (termasuklah musim sejuk dan musim panas).

“Oleh itu keupayaannya dalam menjangkiti manusia jauh lebih tinggi dari influenza,” katanya.

Kedua, katanya lagi, hipoksia senyap lebih cenderung berlaku dalam kalangan pesakit Covid-19 berbanding pesakit influenza.

Tambahan pula beliau berkata, masih belum ada cara untuk menentukan pesakit mana yang berisiko mendapat hipoksia senyap (pesakit kekurangan oksigen tanpa sedar).

“Ia sangat menakutkan kerana pesakit kehilangan deria untuk mengenalpasti keadaan badan yang mengalami hipoksia.

“Keadaan ini boleh berlaku secara jarang-jarang dalam pesakit influenza tetapi majoriti pesakit influenza akan menyedari mereka mengalami kesukaran bernafas.

“Pesakit Covid-19 pula boleh mengalami hipoksia hingga mati secara senyap-senyap,” katanya lagi.

Beliau berkata, kadar kematian akibat Covid-19 juga jauh lebih tinggi dari penyakit influenza.

Malah, katanya, komplikasi ngeri akibat Covid-19 lebih tinggi seperti pembekuan darah dalam salur darah, impotensi, kegagalan organ dan gangguan psikitri.

“Sehingga kita mendapat maklumat jelas dan terang mengenai Covid-19, adalah lebih baik kita berjaga-jaga.

“Tapi, saya yakin bahawa kita akan mendapat lebih banyak maklumat apabila kajian mengenai penyakit ini lengkap,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here