HANYA 15 pasangan pengantin boleh dinikahkan dalam sehari di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini, berbanding tiada had bilangan dinyatakan melalui arahan sebelum ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata perkara itu diputuskan melalui arahan tatacara pelaksanaan Majlis Akad Nikah Norma Baharu di Perak, sepanjang tempoh PKP versi 4.0 yang dikeluarkan pihaknya hari ini bagi menggantikan versi 3.0.
Katanya, menerusi versi terkini tatacara itu, bilangan individu yang dibenar menyertai majlis tersebut dihadkan kepada 10 individu berbanding versi 3.0 yang menetapkan bilangan rombongan pengantin mengikut keluasan tempat dan budi bicara.
“Seramai 10 individu yang dibenar hadir ke majlis nikah PAID adalah jurunikah, saksi (dua), pengantin lelaki dan perempuan, wali pengantin perempuan, ibu dan bapa pengantin lelaki, ibu pengantin perempuan serta seorang jurugambar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Syarat selainnya adalah sama seperti versi 3.0, termasuk tempoh pelaksanaan majlis dikehendaki tidak lebih 30 minit, selain hanya dilaksanakan di premis PAID dan tidak di lokasi lain termasuk masjid surau, dewan dan seumpamanya.
Beliau berkata, antara syarat lain kekal sama seperti sebelumnya adalah Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah (PTAID) atau wakilnya yang diberi tanggungjawab mengawal selia majlis akad nikah berkenaan dikehendaki menyediakan satu bilik khas bagi menjalankan majlis terbabit.
Katanya, proses nyahkuman bilik itu dilakukan dari semasa ke semasa selain PTAID diberi tanggungjawab memastikan langkah keselamatan dipatuhi semua pihak.
“Majlis berkenaan hendaklah dibatalkan jika tatacara ini tidak dipatuhi mahu arahan daripada Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Negeri Perak (KPNCR),” katanya. – Malaysiapost

