AIR Terjun Tanjung Batu di Segari, Manjung, Perak masih dalam keadaan terpelihara dan tidak musnah kerana aktiviti perkuarian seperti dilaporkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin.
Beliau berkata, Air Terjun Tanjung Batu itu langsung tidak terjejas dan ia berada di luar kawasan yang diberi lesen mengusaha hasil pengeluaran batu kuari dengan jarak satu kilometer dari tapak kuari berkenaan.
“Kawasan yang terjejas sebenarnya adalah alur air yang bermusim yang muncul ketika berlaku hujan terutamanya ketika hujan lebat.
“Alur air tersebut terjadi hasil dari satu takungan air di kawasan setinggi 200 meter di dalam kawasan yang diberi lesen di dalam Kompartmen 16 (Blok E) Hutan Simpan Segari Melintang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Akmal berkata, hasil siasatan awal mendapati operator kuari telah melakukan pelanggaran syarat-syarat Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang ditetapkan termasuk tiada pegawai yang bertauliah dilantik operator kuari hingga menyebabkan kegagalan kawalan hakisan dan mendapan di tapak projek.
“Perintah Larangan dan Perintah Berhenti Kerja telah dikeluarkan pada 20 Januari lalu (kelmarin) di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghalang operator kuari daripada beroperasi serta-merta.
“Semua kerja pembangunan juga telah dihentikan dan peleses telah diarahkan untuk melakukan tindakan pembaikan serta pemulihan (remedi) di alur air bermusim itu,” katanya.
Katanya, pelanggaran syarat tersebut akan menyebabkan operator kuari boleh diambil tindakan beradasarkan peruntukan undang-undang.
“Kerajaan negeri telah mengarahkan pihak terlibat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan segera di kawasan terjejas bermula 21 Januari (semalam) dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.
“Sekiranya orang ramai mendapati ada jentera yang bergerak di sekitar kuari, itu adalah kerja-kerja pembersihan dan pemulihan yang sedang berjalan,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri amat komited dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan prihatin terhadap kelangsungan sungai di negeri itu.
Sebelum ini media melaporkan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) yang melaporkan kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Teluk Sera yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung, Perak telah pun musnah akibat projek pembalakan.
Menurut persatuan itu, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama penduduk kampung Sungai Batu, Pantai Remis telah membantah cadangan projek tersebut sejak 2016. -Malaysiapost

