PENCERAMAH bebas, Ebit Lew mengakui
menerima 43,000 permintaan daripada orang ramai yang mahu mendapatkan tab untuk anak-anak mereka menjalankan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Beliau berkata, permintaan itu diperoleh tidak sampai separuh hari selepas dia menguar-uarkan mengenai sumbangan tab kepada pelajar sekolah di Facebooknya semalam.
Katanya, ramai juga dalam kalangan yang meminta tab itu terdiri daripada orang kelainan upaya, tiada pekerjaan, anak yatim piatu serta bergaji kecil.
“Sayu rasa hati. Dalam separuh hari sahaja 43,000 mesej atau 43,000 orang perlu Tab untuk anak belajar.
“Ramai juga yang OKU, tiada pekerjaan, anak yatim piatu, kerja gaji kecil. Semua bangsa ada dari semua negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Selain itu, Ebit berkata, permintaan kerusi roda yang diperlukan adalag sebanyak 8,000 lagi.
“Ambulans dan van jenazah setiap hari bergerak. Maafkan saya yer tidak dapat membantu ramai lagi. Maafkan saya.
“Semoga Allah ampunkan dosa saya. Ya Allah siapa sahaja yang benar-benar memerlukan permudahkanlah. Lapangkanlah buat saudaraku semua. Semoga menjadi asbab kebaikan dan hidayah,” katanya.
Dalam hantaran di Facebooknya semalam, Ebit menyumbang 100 Tab sebagai
hadiah pada pelajar yang memerlukan untuk kelas online.
Dalam hantaran sama, beliau meminta individu yang benar-benar perlu supaya menghubunginya. -Malaysiapost

