Bahan binaan naik: Lambakan projek terbengkalai, harga rumah meningkat

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bimbang akan berlaku lambakan projek terbengkalai dan harga rumah meningkat susulan kenaikan harga bahan asas dalam industri pembinaan.

Beliau berkata, kenaikan harga barang asas itu bukan sahaja memberi impak negatif kepada kontraktor dan pemaju, malah kepada rakyat.

“Saya terbaca keluhan Guild of Bumiputera Contractors Berhad (WIBAWA) berhubung kenaikan harga bahan asas dalam industri pembinaan terutama bahan besi.

“Kenaikan antara 30 hingga 40 peratus itu didakwa akan memberi impak negatif bukan saja terhadap kontraktor dan pemaju, tetapi juga rakyat.

“Ia didakwa berisiko menyebabkan ramai kontraktor atau pemaju bergelut dengan kesulitan kewangan sekali gus menyumbang kepada lambakan projek terbengkalai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya kemelut ini tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan akan menyebabkan harga rumah terus meningkat.

“Impaknya turut memberi kesan kepada industri hiliran, kecil dan sederhana.

“Pihak berkuasa dalam negara dan pemain industri perlu duduk bersama berbincang bagi mencari “win win situation” demi kepentingan rakyat,” katanya.

Media semalam melaporkan kenaikan harga bahan asas dalam industri binaan terutamanya harga besi menambah tekanan kepada kontraktor yang sebelum ini terjejas teruk akibat Covid-19.

Harga besi yang naik sehingga 30 ke 40 peratus menyebabkan projek sedia ada terjejas dan pemaju tidak mampu untuk menanggung kerugian besar disebabkan kenaikan tersebut.

Pengerusi WIBAWA, Datuk Ir Md Nasir Ibrahim berkata, buat masa ini mereka terpaksa menghentikan pembelian sehingga keadaan kembali normal dan harga tidak lagi membebankan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here