PERGERAKAN Wirawati Putra Malaysia berharap kerajaan dapat mempermudahkan urusan pendidikan PDPR (belajar dari rumah) melalui saluran sistem televisyen sedia ada untuk mengelak beban rakyat terutama ibu bapa dan rakyat di pedalaman terbeban dengan kos persediaan kelas online.
Ketuanya, Dr Asmah Razalli, berkata pihaknya sedih dengan rungutan dan luahan ibu bapa di Malaysia terutama mereka yang memiliki anak ramai bersekolah secara serentak mahupun golongan B40 yg kesusahan dan M40 yang bekerja keras mencari rezeki demi menampung keperluan sekolah anak anak.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ramai ibu bapa yang kehilangan pekerjaan, terbeban dengan tanggungan hutang mahupun mendapat gaji jauh lebih rendah dari sebelumnya. Pembelajaran atas talian yang terpaksa dilakukan demi memenuhi kehendak capaian silibus subjek persekolahan sebenarnya amat membebankan ibu bapa.
“Ibu bapa terpaksa membeli telefon pintar atau komputer riba dan data internet untuk setiap anak yang bersekolah kerana amat sukar bagi mereka berkongsi peralatan itu jika kelas PDPR dilakukan secara ‘live stream’.
“Pembelajaran kelas online tidak begitu mesra rakyat jika ramai ibu bapa berasa terbeban untuk menyediakan data internet dan pelbagai kemudahan streaming walaupun kerajaan Malaysia mengumumkan Penjana untuk bantuan data internet,” katanya menerusi kenyataan.
Dr Asmah berkata, inilah masanya stesen tv Nasional, swasta serta satelit menyalurkan kebajikan korporat atas rasa tanggungjawab untuk mengadakan beberapa saluran khas tv pendidikan wajib khas utk subjek darjah 1 hingga ke tingkatan 6.
Katanya, TV Pendidikan secara integrasi yang merakam dan menyiarkan subjek dalam bentuk rakaman mampu diulang oleh pelajar dan menjimatkan masa ibu bapa terutama yang berhempas pulas mencari rezeki.
“Data internet, keperluan membeli telefon bimbit baru boleh dikurangkan dan ibubapa lebih mudah menyusun jadual anak anak bagi sesi PDPR.
“Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan Jawatankuasa pendidikan saluran TV pendidikan untuk mengolah sistem PDPR yang lebih efisen, jimat serta tidak membebankan ibu bapa terutama yg keduanya bekerja dan tidak mempunyai lebihan telefon bimbit mahupun komputer riba,” katanya. -Malaysiapost

