KERAJAAN didakwa tidak konsisten selain ‘tiada arah’ dalam usaha menangani pandemik Covid-19.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata adalah lebih baik jika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat dengan seketatnya supaya ia tidak disambung yang akhirnya menyusahkan rakyat.
“Masalahnya kuatkuasa PKP tidak ketat. Kereta berkeliaran di lebuh raya. Dengar info radio, jalan di KL sesak macam biasa setiap pagi kerana rakyat nak pergi kerja.
“Sedangkan kluster tempat kerja penyumbang besar. Sekarang ada 11 kluster tempat kerja daripada 16 kluster. Kilang dan tapak pembinaan diberi kelonggaran beroperasi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Mohd Puad berkata, selain tidak konsisten kerajaan juga didakwa mengamalkan ‘double standard’ dalam pelaksanaan PKP.
“Kerajaan bukan sahaja tidak konsisten tetapi nampak macam tidak tahu apa nak buat. Tegas atau tidak.
“Rakyat tidak boleh makan di restoren. Tetapi orang ramai selamba makan di gerai gerai di pekan kecil dan kampung,” katanya.
Puad berkata, maka tujuan darurat dan gantung Parlimen hanya untuk membolehkan kerajaan ‘pekakkan telinga’ daripada dikritik kerana gagal menangani pandemik Covid-19.
“Sudah tidak ada ‘check and balance’ . Laksanak PKP seketatnya agar PKP tidak perlu disambung setiap minggu kerana menyusahkan rakyat mendapat sesuap nasi.
“Betul, lagi lama PKP 2.0 yang longgar ini dilanjutkan, lagi lama ketidakadilan berlaku. Ada yang dibenarkan beroperasi cari makan ada yang tidak boleh cari makan,” katanya.
Beliau mengakui senada dengan saranan Datuk Seri Najib Razak yang mahu PKP lebih tegas dalam tempoh singkat adalah lebih baik dari ‘PKP separuh masak’ yang berpanjangan.
“Mudaratnya berpanjangan. Masalah tidak selesai. Masalah (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) untuk kekal lama jadi PM sahaja yang selesai,” katanya. -Malaysiapost
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan PKP di tujuh negeri yang sebelum ini dijadual tamat pada Selasa depan dilanjutkan hingga 4 Februari ini.
Negeri berkenaan ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) selepas semua negeri berkenaan masih menunjukkan trend peningkatan kes positif harian Covid-19. -Malaysiapost

