CABARAN petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19 membuatkan mereka mengalami kelesuan dari segi mental dan fizikal.
Keadaan itu diakui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelbagai langkah sudah dijalankan bagi menangani isu itu sebaik mungkin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata memang ramai dalam kalangan petugas barisan hadapan dan pengurusan yang mengalami kelesuan mental dan fizikal susulan pandemik Covid-19.
“Kita berperang dengan Covid-19 untuk tempoh yang lama lebih setahun dan tidak nampak lagi pengakhiran peperangan ini.
“Memang betul ramai dalam kalangan petugas barisan hadapan dan pengurusan yang ada kelesuan mental dan fizikal dan kita sekarang ini kita ada perkhidmatan sokongan mental yang sudah dilaksanakan sejak tahun lalu
“Ada talian sokongan psikososial untuk Covid-19 dan kita akan cuba bantu mengurangkan tekanan dan memberi ruang dalam penggiliran tugas,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, KKM sentiasa berusaha menambah baik operasi termasuk situasi di tempat kerja dan sistem penggantian petugas di lapangan.
“Cabaran kita di KKM bukan mudah tetapi kita kena berperang dan kita tiada cara lain,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan seorang petugas kesihatan di Hospital Shah Alam disahkan positif Covid-19 dan jangkitan adalah membabitkan dalam komuniti.
“KKM telah kesan kontak rapat petugas berkenaan dan kesemua lima kontak rapatnya adalah negatif.
“Kes ini tidak membabitkan Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Pembedahan Nuero di hospital berkenaan dan apa yang pasti petugas kesihatan sentiasa menjalankan saringan secara berkala dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

