‘Saya keliru, ini darurat kesihatan atau darurat politik’ – Noh Omar

0
1

“SAYA fikir darurat yang diisytihar pada 12 Januari lalu akan membolehkan kerajaan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat seperti perintah berkurung ketika PKP 1.0,” kata Tan Sri Noh Omar.

Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu berkata, tiada beza antara PKP dan darurat kerana banyak sektor masih beroperasi seperti biasa.

“Sebenarnya apa yang menghantui fikiran saya adalah mengapa Parlimen digantung? Sedangkan Parlimen sebelum ini bersidang dengan SOP yang ketat. Kami diwajibkan membuat swab test setiap dua minggu.

“Parlimen juga mengeluarkan peruntukan menyediakan penghadang kaca dan disanitasi setiap hari diikuti lain-lain SOP yang ketat.

“Kalau kurang yakin dengan SOP yang ditetapkan mungkin boleh diwajibkan semua Ahli Parlimen pakai pakaian pelindung diri (PPE) kerana pernah berlaku Ahli Parlimen memakai PPE memasuki Dewan Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Noh berkata beliau tidak faham apa kaitan darurat dengan Parlimen yang digantung dan beliau yakin banyak masalah rakyat boleh disuarakan oleh Ahli Parlimen jika Dewan Rakyat bersidang.

Ahli Parlimen, katanya, boleh membantu memberi input kepada kerajaan bagaimana cara untuk membantu rakyat memandangkan kesusahan rakyat di setiap tempat berbeza.

“Saya bagi contoh adakah rakyat bersedia untuk pembelajaran online. Adakah semua ibu bapa mampu menyediakan kemudahan untuk pembelajaran online? Adakah semua kawasan mempunyai liputan internet yang baik? Adakah kita akan mengamalkan pembelajaran dua darjat?

“Dalam keadaan sekarang, saya ada berbincang dengan rakan yang pakar dalam Perlembagaan Persekutuan. Kesimpulan yang kami dapat adalah Parlimen boleh bersidang sesuai dengan artikel 150(3).

“Persoalannya, bila artikel 150(3) ini akan dilaksanakan sepertimana tercatat di dalam warta yang diedarkan.

“Kita tidak nafikan dalam keadaan sekarang kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakyat. Tapi saya lihat dasar bantuan ini sepatutnya dari “bottom to top” dan setiap dasar baharu kerajaan perlu ada semak dan imbang melalui persidangan Parlimen,” katanya.

Tambah mengelirukan, kata Noh, hari ini diumumkan kedai makan dibenarkan beroperasi hingga jam 10 malam.

“Saya bertambah keliru dengan darurat yang diisytiharkan samada Darurat Kesihatan atau Darurat Politik,” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here