Pelajar disaring jika ada kes dalam komuniti

0
1

UJIAN saringan Covid-19 tidak dijalankan terhadap semua warganegara termasuk pelajar yang kembali ke sekolah tetapi secara tertumpu. 
Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kementerian itu tidak melakukan saringan terhadap semua warganegara tetapi hanya jika terdapat kes positif baharu dikesan dalam komuniti atau terdedah kepada kes positif.
“Kita hanya menjalankan saringan tertumpu kepada kes yang positif dan kontak rapat. 
“Itu keutamaan yang kita jalankan,” katanya ketika sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Beliau mengulas implikasi apabila tiada saringan diwajibkan terhadap pelajar sekolah yang kembali ke sekolah secara bersemuka.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang meningkatkan kapasiti makmal bagi membolehkan sebanyak 100,000 sampel ujian RT-PCR dapat diuji setiap hari.
Menurutnya, semua 68 makmal yang digunakan KKM ketika ini dianggarkan mampu memproses kira-kira 70,000 sampel ujian RT-PCR sehari.
Beliau berkata, pengesanan kes positif turut dibantu melalui ujian saringan menggunakan kit RTK-Antigen selain penggunaan RT-PCR untuk diagnosis kes COVID-19.
“Kita juga akan menambah makmal di hospital seperti di Hospital Lahad Datu, Hospital Tawau dan hospital lain. 
“Perancangan KKM adalah untuk meningkatkan keupayaan makmal sehingga 150,000 dengan melihat kerjasama swasta dan awam serta makmal di universiti termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sebelum kita menambah makmal di hospital KKM,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here