SEKUMPULAN gajah dikesan sering menceroboh ke kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Kemar, Gerik, sejak beberapa bulan lalu susulan tiada sesi persekolahan dengan kejadian terbaru dilaporkan pada Selasa lalu.
Kejadian itu sempat dirakam seorang lelaki dengan menunjukkan seekor gajah dewasa dianggar berusia 35 tahun memasuki hingga ke kawasan kaki lima bangunan sekolah.
Haiwan berkenaan dilihat turut cuba mengejar lelaki terbabit.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima laporan antara empat hingga lima ekor gajah masuk ke sekolah itu sebelum ini.
Beliau berkata, pihaknya memasang pagar elektrik di sekeliling sekolah berkenaan pada November lalu bagi mengelakkan gajah terbabit kembali, namun ia mengalami kerosakan baru-baru ini.
“Kakitangan Perhilitan baru sahaja (hari ini) melakukan kerja-kerja baik pulih pagar itu dan arus elektrik pun sudah mencapai 9.1 voltan cukup untuk menghalang gajah masuk ke kawasan itu.
“Di samping itu, kami juga memasang lampu biru ‘high LED’ untuk menakutkan gajah,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani hari ini.
Sehubungan itu, Yusoff meminta kerjasama orang ramai, khususnya penduduk setempat untuk bersama-sama menjaga pagar elektrik berkenaan. – Malaysiapost

