Penggambaran di kawasan PKP tidak dibenarkan – FINAS

0
2

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memberi peringatan semua aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelaksanaan PKP di enam negeri lagi iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis mulai esok hingga 4 Februari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata FINAS menyarankan syarikat produksi yang sedang melakukan aktiviti penggambaran di zon PKP untuk segera pulang bagi mengelak kesulitan.

“FINAS mengesyorkan mana-mana syarikat produksi yang mahu melakukan perjalanan pulang melibatkan pergerakan rentas negeri mendapatkan kelulusan polis.

“Mereka hendaklah menyertakan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dikeluarkan FINAS sebagai dokumen sokongan.

“Ini supaya syarikat produksi tidak berdepan masalah membabitkan penggambaran,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ahmad Idham berkata, FINAS memahami kesulitan dialami warga industri ketika kerajaan negara mengambil tindakan drastik memutuskan rantaian Covid-19.

Ahmad Idham berkata, FINAS melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sudah mendapatkan penjelasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung larangan aktiviti penggambaran.

“FINAS faham isu dan masalah penggiat seni kreatif. Jadi, kami sedaya upaya membantu industri seni mengharungi PKP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here