Jangan serah kod pengesahan enam digit diterima dari ‘pihak WhatsApp’

0
1

ORANG ramai dinasihatkan berwaspada dengan kewujudan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.

Menerusi kenyataan, MCMC berkata taktik tersebut menggunakan pelbagai helah bagi memperdayakan pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan enam digit diterima daripada pihak WhatsApp.

“Kod pengesahan tersebut amnya diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.

“Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer,” katanya.

Susulan itu, MCMC meminta pengguna berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan enam digit WhatsApp.

Ini sama ada daripada mesej orang yang dikenali seperti rakan atau ahli keluarga atau panggilan orang tidak dikenali atau yang mengaku sebagai kakitangan WhatsApp serta pihak lain termasuk pihak berkuasa.

Pengguna juga, kata MCMC diingatkan agar tidak sama sekali menyerahkan kod pengesahan enam digit WhatsApp kepada mana-mana pihak.

“Pengguna yang menjadi mangsa pengambilalihan akaun WhatsApp disaran mengikuti langkah seperti di pautan https://faq.whatsapp.com/general/account-and- profile/stolen-accounts/ untuk mengambil alih semula akaun WhatsApp yang dirampas.

“Bagi melindungi diri daripada sebarang kemungkinan perbuatan jenayah, pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat aduan dan laporan berhubung pencerobohan atau pengambilalihan akaun WhatsApp kepada balai polis berhampiran,” katanya.

Laporan juga boleh dibuat kepada MCMC menerusi saluran portal aduan MCMC: https://aduan.skmm.gov.my, e-mel: [email protected] atau WhatsApp: 016-220 6262. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here