BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan beliau negatif Covid-19 selepas membuat ujian saringan di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.
“Negatif. Rasanya ini kali ke-15 saya membuat saringan Covid.
“Setiap kali hadir ke Dewan Rakyat, buat test.
Rentas negeri, dicucuk hidung lagi. Ada kontak rapat yang disahkan positif Covid, test lagi.
“Alhamdulillah. Ujian terbaru dibuat semalam juga negatif,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Pagi tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan beliau negatif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial, Najib dan Zahid antara kontak rapat Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas hadir mesyuarat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) beberapa hari lalu.
Semalam, Tajuddin yang juga Pengerusi Prasarana disahkan positif Covid-19. – Malaysiapost

