Saifuddin, Loke, Dr Dzulkefly wakil PH dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

0
1

PAKATAN Harapan (PH) mengemukakan tiga nama mewakili gabungan itu dalam Jawatankuasa Khas Bebas berkenaan darurat kepada kerajaan, hari ini.

Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan berkata, pembangkang akan memberikan tiga nama bagi Jawatankuasa Bebas bagi membuat pengesyoran kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekiranya perlaksanaan darurat dapat ditamatkan lebih awal atau sebaliknya.

Tiga wakil itu adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke serta Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Penyertaan wakil pembangkang ke dalam Jawatankuasa Khas Bebas ini tidak mengubah pendirian kami bahawa alasan-alasan yang dikemukakan Perdana Menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima.

“Kami serta majoriti Ahli-Ahli Parlimen juga kekal dengan pendirian bahawa darurat ini perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Saifuddin, Anthony serta Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli.

Pemakluman nama tiga wakil itu dikeluarkan Saifuddin, selaku Ketua Setiausaha PH, diserahkan menerusi surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini, Takiyuddin memaklumkan, bekas Ketua Hakim Negara, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) serta bekas Ketua Polis Negara (KPN) adalah di antara individu bakal dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas bagi menasihati Agong, berkenaan perintah darurat yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Selain mereka, tokoh dalam bidang keselamatan, pertahanan, badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis sosial sudah dinamakan oleh kerajaan untuk diperkenan oleh baginda.

Katanya, Agong akan melantik ahli Jawatankuasa Khas Bebas ini, sekali gus menunjukkan kerajaan amat berhasrat supaya pelaksanaan darurat ini dilihat secara telus. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here